'Kalau
engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu. Tandanya
hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak bumi yang
terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu lantaran
pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib
telah terkungkung di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di
sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam
falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan
ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa
berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya
berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu
bersungguh-sungguh.
Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak
terbalas, senangkan jugalah hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang
mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang
diusirnya itu setelah dia jatuh dari matanya: dia akan cinta , cinta
yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh
membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan
membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak
tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang
lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima dan menyuburkan cinta,
walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan
menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di
hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya.
Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang
sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh
cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan
jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh,
benteng yang gagah perkasa yang sukar ditempuh oleh manusia biasa.
Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan
kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.'
Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba
Allah yang dipaterikan oleh cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal
kerana iblis suka meracuni jiwa yang lalai.
No comments:
Post a Comment
Kami tahu anda mahu komen :) Kongsikan ayat ini kepada kekasih anda!